Firdaus@Noramalina

Sesungguhnya menjadi seorang Muslim tetapi tidak menghayati tuntutan ajaran Islam adalah tidak bermakna dan sia-sia sahaja. Malahan dalam sesetengah keadaan, ia boleh mengaibkan Islam itu sendiri sebagai satu agama yang suci. Di samping itu, sikap sedemikian juga, menggambarkannya tidak mensyukuri nikmat Allah yang telah menjadikannya seorang Muslim. Islam merupakan satu kurniaan yang amat besar maknanya kepada mereka yang memahami dengan tepat hakikat makna hidup dan kehidupan.

Namun demikian, dalam kehidupan harian di serata dunia pada masa ini, adalah amat mudah untuk kita temui mereka yang mengaku dan mengiktiraf dirinya sebagai Muslim tetapi mengabaikan tuntutan ajaran Islam sama ada berbentuk suruhan ataupun larangan. Mereka yang melakukan jenayah agama yang berat seperti berzina, minum arak, merompak, membunuh dan sebagainya adalah rata-rata terdiri dari orang Muslim. Keadaan ini sudah begitu lumrah terjadi sehingga ia tidak perlu lagi dibuktikan dengan apa juga bentuk perangkaan atau statistik tertentu.

Oleh itu, untuk tidak terus terperangkap dalam kancah sikap mengkufuri nikmat Allah dan terus melakukan kerja yang sia-sia yang seterusnya boleh menjatuhkan nama baik agama Islam itu sendiri, maka umat Islam terbabit perlu kembali menghayati secara tepat ajaran Islam dalam segenap sektor kehidupan harian mereka. Sesuai dengan kedatangan tahun baru Hijrah 1420 ini, maka umat Islam yang terbabit dalam pengabaian ajaran Islam ini hendaklah berazam dengan sepenuh hati beserta jihad yang berkobar untuk segera kembali menghayati ajaran Islam. Ini adalah bertepatan dengan semangat yang terkandung dalam pengertian 'hijrah' itu sendiri seperti yang terungkap dalam dua potong hadith berikut yang bermaksud,

'…dan orang-orang yang berhijrah itu pula ialah jenis orang yang meninggalkan perlakuan atau perbuatan yang dilarang oleh Allah'

Dan sabda Rasulullah s.a.w lagi bermaksud,

'Tiada lagi hijrah sesudah pembukaan kota Mekah, tetapi hijrah yang tetap ada ialah jihad dan niat untuk berhijrah (apabila keadaan memaksa); dan apabila dipanggil untuk berjihad (atau sebagainya) hendaklah kamu bersiap sedia'

Berdasarkan hadith-hadith ini, jelas bahawa konsep 'hijrah' selepas pembukaan kota Mekah yang berlaku di awal sejarah tersebut, lebih merujuk kepada kerja yang mempertingkatkan penghayatan suruhan Allah dengan beserta semangat jihad dalam proses pelaksanaannya. Ia adalah satu proses hijrah atau perpindahan yang berlaku dalam diri ummah yang sentiasa cenderung ke arah penghayatan nilai positif dalam kehidupan harian mereka. Semangat 'hijrah' seumpama inilah yang perlu sentiasa dihidupkan dalam diri setiap umat Islam demi untuk mengangkat martabat diri Muslim dan agama Islam yang suci ini. Dalam konteks masa kini di mana rata-rata umat Islam terjebak dalam kemelut pengabaian pelaksanaan ajaran Islam dalam kehidupan sehari-hari maka semangat 'hijrah' sudah pasti dapat menyelesaikan permasalahan berkenaan, asalkan saja ia difahami dan dihayati dengan tepat.

Namun, istilah 'Islam' itu sendiri perlu difahami terlebih dahulu kerana bertolak dari istilah tersebutlah maka kita boleh memahami dengan tepat tentang ungkapan 'ajaran Islam' yang menjadi fokus utama di sini.

Perkataan 'Islam' yang berasal daripada bahasa Arab memberi makna kepatuhan, penyerahan, ketaatan, kedamaian dan keselamatan. Justeru, sebagai satu agama, 'Islam' merujuk kepada sistem hidup yang tunduk, patuh serta terikat dengan segala apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Ataupun 'Islam' merujuk kepada gaya hidup yang pelaksanaannya berupa penyerahan dan ketaatan yang sempurna terhadap Allah s.w.t. Keseluruhan makna 'Islam' ini mengisyaratkan bahawa kepatuhan dan ketaatan yang mutlak kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya akan membawa kedamaian, keselamatan serta kesejahteraan dalam kehidupan para pengamal atau penganutnya.

Jadi, agama Islam ialah agama yang mengajarkan penganutnya supaya tunduk dan taat kepada Allah s.w.t menerusi cara dan pendekatan yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Dan dengan mengikuti setepatnya tatacara tersebut maka kita pasti beroleh kedamaian dan kesejahteraan dalam menjalani kehidupan. Oleh itu, fahamlah kita sekarang bahawa ungkapan 'ajaran Islam' itu mengandungi apa yang dibawa dan diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. Dan tentunya ia adalah segala apa yang terkandung dalam al-Qur’an dan Sunnah. Maka itu, ‘ajaran Islam’ ialah segala apa yang terkandung dalam al-Qur’an dan Sunnah sebagaimana yang terungkap dalam sebuah hadith Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

'Aku tinggalkan kepada kamu semua dua perkara, di mana kamu tidak akan sesat selama-lamanya selagimana kamu berpegang teguh kepada kedua-duanya. (Dua perkara tersebut ialah) Kitab Allah (al-Qur’an) dan Sunnahku.'

Walau bagaimanapun, memandangkan sesetengah perkara dari al-Qur’an dan al-Sunnah itu berbentuk agak ringkas dan umum, sedangkan sasaran al-Qur’an dan Sunnah itu adalah makhluk yang berakal dan boleh berfikir, maka 'ajaran Islam' itu secara umumnya terungkap dalam dua tabi’i berikut:

Pertama: Tabi’i Ilahi iaitu ajaran-ajaran yang berupa sistem atau perlakuan yang secara mutlak dikehendaki olah Allah s.w.t. Sistem atau perlakuan ini wajib diikuti oleh makhluk berpandukan cara khusus seperti yang telah ditetapkan oleh Allah. Oleh itu, dalam konteks tabi’i ini, Allah menurunkan wahyu dengan gambaran yang jelas berkenaan sistem yang dikehendaki tersebut. Seterusnya memerintahkan makhluk supaya melaksanakan sistem berkenaan secara sepenuh hati dan dengan penuh keikhlasan demi mendapatkan keredhaan Allah. Termasuk di dalam sistem ini ialah sistem peribadatan seperti sembahyang, puasa, zakat, haji dan lain-lain. Dalam sistem bertabi’i Ilahi ini juga, fungsi makhluk hanyalah sebagai pelaksana dan tidak lebih daripada itu.

Kedua: Tabi’i makhluk iaitu ajaran-ajaran yang berupa sistem umum yang sesetengahnya tidak ditentukan secara terperinci oleh wahyu Ilahi. Malahan wahyu hanya mengungkapkan dasar-dasar umum sahaja. Dengan kata lain, terdapat ruang-ruang yang terbuka dalam sistem umum tersebut yang memerlukan khidmat dan peranan manusia. Namun begitu, manusia tidak diberi kebebasan penuh sehingga boleh melanggar peraturan umum yang terdapat dalam kerangka besar sistem Ilahi.

Ajaran-ajaran yang terkandung di dalam tabi’i makhluk ini ialah seperti sistem politik dalam Islam. Wahyu Ilahi dalam konteks sistem politik ini, tidaklah datang dalam bentuk terperinci dari segenap seginya melainkan hanya berupa penunjuk dan ciri-ciri umumnya sahaja. Oleh itu, pemerintah sesebuah negara perlulah mengatur perjalanan dan pengurusan tugas-tugas harian kerajaannya berdasarkan ciri umum yang diberikan oleh wahyu tersebut. Di sinilah manusia perlu menyumbang kesungguhan dan ijtihad akalnya untuk memperincikan lagi arah perjalanan tugas-tugas sistem umum tersebut contohnya seperti sistem politik.

Dengan ini dapatlah dirumuskan bahawa keseluruhan 'ajaran Islam' itu terkandung dalam sumber-sumber berikut: (a) al-Qur’an dan Sunnah, yang mewakili tabi’i Ilahi, dan (b) perincian ilmu keagamaan yang dihasilkan oleh ijtihad dan kesungguhan para ulama’ sepanjang zaman, iaitu yang mewakili tabi’i makhluk.

Jelaslah bahawa penghijrahan yang perlu berlaku dalam diri sebahagian besar umat Islam masa kini ialah berhijrah atau berpindah meninggalkan tabiat atau gaya hidup yang bercanggah dengan kehendak al-Qur’an dan Sunnah yang sebahagiannya merupakan hasil perincian keilmuan yang diijtihadkan oleh para ulama’ Islam zaman berzaman.

Walau bagaimanapun, kerja atau usaha untuk menghayati kehendak al-Qur’an dan Sunnah dalam persekitaran hidup masa kini bukanlah satu perkara yang mudah. Ini kerana banyak cabaran dan halangan yang perlu diatasi dengan penuh berani dan bijaksana yang muncul dari segenap penjuru kehidupan bermasyarakat. Justeru, di sinilah peranan jihad dalam menyumbangkan khidmat baktinya bagi menjayakan proses penghijrahan tersebut. Dalam erti kata lain, umat Islam perlu melancarkan satu jihad dalam diri masing-masing untuk meninggalkan perkara yang dilarang oleh ajaran Islam. Dan sememangnya, usaha ini perlu dilaksanakan bukan hanya pada peringkat diri individu Muslim sahaja, malahan masyarakat dan negara serta pelbagai institusi yang ada di dalamnya, mestilah bersama-sama secara menyeluruh menyediakan persekitaran yang menjurus ke arah pelaksanaan ajaran Islam dalam segenap sektor kehidupan. Hanya apabila segala ini terlaksana dengan jayanya dalam masyarakat, barulah umat Islam akan kembali kuat dan cemerlang semula. Seterusnya mereka dapat berfungsi dengan baik sebagai agen penyalur rahmat kepada seluruh alam semesta iaitu tugas asasi risalah Islam sebagaimana terungkap dalam ayat al-Qur’an yang bermaksud,

'Dan tidaklah Kami mengutus engkau (Wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam'
(al-Anbiya’ : 107)


 

Ibadat puasa adalah ibadah dikerjakan dengan berlapar dan berdahaga sepanjang hari iaitu sejak terbitnya fajar sodiq (masuk waktu Subuh) hingga terbenamnya matahari (masuk waktu Maghrib). Antara hikmah dan faedah ibadat puasa ialah menginsafkan diri bahawa kita pada hakikatnya adalah makhluk yang dhaif yang perlu sentiasa menghampirkan diri dan beribadat kepada Allah s.w.t. serta mengharapkan limpah kurnia-Nya.

Firmah Allah s.w.t. menjelaskan tentang hikmah puasa Ramadhan yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan berpuasa atas kamu sebagaimana diwajibkan atas umat-umat yang terdahulu sebelum kamu, semoga kamu bertakwa" (Surah al-Baqarah:183)

Dengan puasa juga, kita akan memperolehi kesihatan jasmani dan rohani. Sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: "Berpuasalah kamu, tentu kamu akan sihat." Sabda Baginda Rasulullah s.a.w. lagi: "Perut besar itu adalah sarang penyakit dan banyak makan itu punca segala penyakit."

Selain daripada itu, puasa juga mempunyai hikmah dan faedah seperti:

  • Tanda bersyukur kepada Allah s.w.t. atas limpah kurnia nikmatNya yang tidak terhingga

  • Mendidik nafsu ammarah (yang lebih banyak mengajak kepada keburukan) agar berubah menjadi nafsu lawwamah dan seterusnya meningkat kepada nafsu mutmainnah yakni nafsu yang tenang tenteram, bersedia menjunjung titah perintah Allah s.w.t.

  • Melatih dan mendidik jiwa supaya mempunyai sifat kasihan belas terhadap orang-orang yang susah menderita dan kurang bernasib baik kehidupan mereka

  • Membersihkan diri daripada sifat-sifat mazmumah (keji) seperti tamak, sombong, hasad dengki dan lain-lain lagi

  • Mendidik jiwa supaya bersifat sabar, tahan menanggung kesusahan dan pelbagai cabaran dalam menempuh perjuangan hidup

  • Memperolehi kecerdasan akal dan fikiran sebagaimana disebut dalam satu riwayat maksudnya: "Orang yang lapar perutnya itu tajamlah fikirannya dan teranglah hatinya."

Oleh kerana sangat besar faedah dan manfaatnya ibadah puasa kepada kita, maka selain puasa yang wajib pada bulan Ramadhan, ada lagi puasa-puasa sunat yang elok dilakukan sepanjang tahun iaitu seperti yang akan disebutkan nanti.

FADHILAT PUASA RAMADHAN

Puasa pada bulan Ramadhan difardhukan kepada setiap individu Muslim dan Muslimah yang telah 'aqil baligh dan ketiadaan uzur syar'i. Uzur puasa seperti sakit dan dalam perjalanan (musafir) sejauh 91km. atau lebih. Orang yang uzur boleh meninggalkan puasanya. tetapi wajib mengqadhanya pada hari dan bulan yang lain.

Puasa Ramadhan adalah menjadi salah satu rukun Islam yang kelima. Pahala melakukannya tersangat besar, sebagaimana sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: "Sesiapa berpuasa pada bulan Ramadhan dalam keadaan beriman dan kerana menuntutkan keredhaan Allah s.w.t., nescaya diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu." (Rujuk: Al-Targhib II:206)

Sabda Baginda Rasulullah s.a.w.: "Setiap amanalan anak Adam (manusia) itu digandakan satu kebaikan dengan sepuluh yang seumpamanya hingga kepada 700 kali ganda. Firman Allah s.w.t. (maksudnya) :" Kecuali puasa yang dikerjakan untuk Ku, maka Aku-lah yang membalasnya. Dia menahan syahwatnya dan meninggalkan makan kerana Aku" Bagi orang yang puasa itu ada dua kegembiraan, iaitu gembira ketika berbuka (atau berhari raya) dan gembira ketika menemui Tuhannya kelak. Dan, demi bau mulut orang yang berpuasa itu lebih harum daripada bau kasturi." (Riwayat Muslim dari Abu Hurairah)

FADHILAT PUASA-PUASA SUNNAT SEPANJANG TAHUN

1. Puasa enam hari dalam bulan Syawal

Fadhilat atau keutamaannya sangat besar sebagaimana sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: "Sesiapa berpuasa Ramadhan, kemudian diiringi dengan puasa (sunnat) enam hari dalam bulan Syawal adalah seperti puasa selama setahun." (Riwayat Muslim)

Cara melakukannya yang terbaik (afdal) secara berturut-turut dan dimulakan pada hari kedua bulan Syawal, tetapi boleh dan sah dengan tidak berturut-turut, misalnya sehari puasa dua hari tidak, kemudian puasa lagi, asalkan genap enam hari didalam bulan Syawal. Malah sesetengah ulama mengharuskan puasa enam hari dalam bulan Syawal diniatkan berserta puasa qadha Ramadhan.

2. Puasa hari 'Arafah (9 Zulhijjah)

Disunatkan kepada orang yang tidak melakukan ibadah haji. Fadhilatnya sangat besar sebagaimana dijelaskan menerusi hadith daripada Abi Qatadah r.a. ujurnya, Rasullullah s.a.w. telah ditanya oleh sahabat mengenai puasa hari 'Arafah, sabdanya bermaksud: "Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu dan tahun-tahun kemudiannya." (Riwayatkan oleh Muslim dan al-Turmuzi)

Menerusi hadith daripada Abi Qatadah r.a. juga bahawa Rasullullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Puasa pada hari 'Arafah itu menghapuskan dosa dua tahun yang lalu dan tahun yang akan datanag." (Diriwayat oleh Muslim)

3. Puasa pada bulan Muharram

Daripada Abi Hurairah r.a. katanya, telah bersabda Rasullullah s.a.w. yang maksudnya: "Seafdal-afdal puasa selepas Ramadhan ialah puasa pada bulan Allah iaitu bulan Muharram dan seafdal-afdal solat selepas solat fardhu ialah solat malam." (Riwayat Muslim)

Daripada Ibu 'Abbas r.a. katanya, telah bersabda Rasullullah s.a.w. maksudnya: "Sesiapa berpuasa pada hari 'Arafah nescaya terhapus dosanya dua tahun dan sesiapa berpuasa satu hari daripada bulan Muharram maka untuknya setiap sehari (mendapat pahala) 30 hari." (Dikeluarkan oleh al-Tabrani)

4. Puasa pada hari 'Asyura (10 Muharram)

Daripada Abi Qatadah r.a. bahawasanya Rasullullah s.a.w. telah ditanya mengenai puasa hari 'Asyura (yakni hari ke-10 bulan Muharram) maka sabda Baginda s.a.w. yang bermaksud: "Ia akan menghapuskan dosa setahun yang lalu." (Riwayat Muslim)

5. Puasa hari Tasu'a (Tanggal 9 Muharram)

Ia disunatkan, namun Rasullullah s.a.w. belum sempat mengerjakannya, bagaimanapun Baginda s.a.w. bersabda maksudnya: "Sesungguhnya jika aku hidup pada tahun hadapan, aku akan berpuasa pada 9 Muharra,." (Riwayat Ahmad dan Muslim)

PERINGATAN

Puasa sunnat pada hari ke-10 Muharram hendaklah digabungkan dengan hari sebelumnya iaitu pada hari ke-9 atau dengan hari selepasnya (yakni hari ke-11) dan lebih baik lagi dikerjakan tiga hari berturut-turut iaitu ke-9,ke-10 dan ke-11. Jika ditunggalkan 10 Muharram sahaja maka hukumnya makruh kerana menyerupai amalan orang Yahudi.

Sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud: "Berpuasalah pada hari 'Asyura (10 Muharram) dan jangalah menyamai perbuatan orang Yahudi; oleh itu berpuasalah sehari sebelum dan sehari sesudahnya." (Riwayat Imam Ahmad)

6. Puasa bulan Sya'aban

Daripada Usamah bin Zaid r.a. katanya, aku berkata: "Wahai Rasullullah, tidak saya lihat tuan hamba berpuasa satu bulan daripada bulan-bulan (dalam setahun selain Ramadhan) seperti tuan berpuasa pada bulan Sya'aban." Sabda Rasullullah s.a.w.: "Bulan ini (yakni bulan Sya'aban) ialah bulan yang manusia lalai padanya antara Rajab dan Ramadhan, pada hal ia (yakni bulan Sya'aban) adalah bulan diangkat amalan kepada Tuhan seru sekelian alam, maka aku suka amalanku diangkat dan aku berpuasa." (Riwayat al-Nasai)

Ummu Salamah r.a. pula berkata: "Tidak pernah aku lihat Rasullullah s.a.w. berpuasa dua bulan berturut-turut melainkan pada bulan Sya'aban dan Ramadhan." (Riwayat al-Turmuzi)

7. Puasa pada hari Isnin dan Khamis

Daripada Abi Hurairah r.a. daripada Rasullullah s.a.w. sabdanya: "Diperlihatkan (kehadrat Allah s.w.t.) segala amalan itu pada hari Isnin dan Khamis, justeru saya suka ketika diperlihatkan amalan-amalanku itu sedang aku berpuasa." (Riwayat al-Turmuzi)

Menurut riwayat Muslim diterima daripada Abu Qatadah, pernah ditanyakan kepada Rasullullah sa.w. tentang puasa pada hari Isnin, maka Baginda s.a.w. menjawab dengan sabdanya yang bermaksud: Itulah hari yang padanya aku dilahirkan, padanya aku dibangkitkan menajdi Rasul dan padanya Al-Quran diturunkan kepadaku." (Subul al-Salam)

8. Puasa hari Rabu, Khamis dan Jumaat

Daripada 'Ubaid bin Muslim al-Qurasyi daripada bapanya r.a. ujurnya, aku bertanya atau ditanya oleh Baginda Rasullullah s.a.w. mengenai puasa dahar (sepanjang tahun), maka Baginda Rasullullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Tidak (maksudnya tidak dibenarkan puasa tersebut), kerana sesungguhnya untuk keluargamu atas dirimu ada hak. Oleh itu berpuasalah pada bulan Ramadhan dan yang mengikutinya (enam hari dalam bulan Syawal), dan pada setiap hari Rabu dan Khamis, maka anda sungguh telah (mendapat pahala) puasa sepanjang tahun dan anda juga telah berbuka." (Riwayat Abu Dawud, al-Nasai dan al-Turmuzi)

Daripada Anas bin Malik r.a. bahawa beliau telah mendengar Rasullullah s.a.w. bersabda bermaksud: Sesiapa berpuasa pada hari Rabu, Khamis dan Jumaat, nescaya Allah s.w.t. membina untuknya sebuah istana disyurga daripada permata, yaqut dan zabarzad dan dicatat baginya bebas dari api neraka>" (Riwayat al-Tabrani)

Menerusi riwayat daripada Ibnu Umar r.a., Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Sesiapa berpuasa pada hari Rabu, Khamis dan Jumaat, kemudian bersedekah pada hari Jumaat sedikit atau banyak, nescaya diampunkan semua dosanya hingga menjadi seperti bayi yang baru dilahirkan oleh ibunya, bersih daripada segala dosa." (Dikeluarkan oleh al-Tabrani)

9. Puasa pada hari Putih (13,14 dan 15 bulan Islam)

Diriwayatkan daripada Jarir r.a. daripada Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: "Berpuasa tiga hari pada setiap bulan adalah puasa sepanjang tahun iaitu puasa pada hari-hari putih - pada hari 13,14 dan 15 (bulan Qamariyah)." (Riwayat al-Nasai dengan sanad yang sohih)

10. Puasa tiga hari pada setiap bulan

Diriwayatkan oleh Muslim daripada Abi Qatadah, bahawasanya Baginda Rasullullah s.a.w. bersabda maksudnya: "Puasa tiga hari pada setiap bulan, Ramadhan ke Ramadhan itulah puasa sepanjang masa."

Mengenai berpuasa tiga hari pada setiap bulan, ada beberapa pendapat Ulama. Antaranya dikatakan puasa tiga hari itu ialah puasa pada 13,14 dan 15. Inilah pendapat kebanyakkan Ulama, antara lain Umar, Ibnu Mas'ud, Abu Zar, al-Syafi'i, Abu Hanifah, Ahmad dan Ishaq.

Sementara al-Nakha'i berpendapat ialah puasa tiga hari pada akhir bulan.

11. Puasa selang-seli (sehari puasa sehari tidak)

Hadith daripada Abdullah bin 'Amru ibnu al-'As r.a. bahawasanya Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Telah sampai berita kepadaku bahawa anda berpuasa pada waktu siang dan berjaga (kerana beribadah) waktu malam. Jangan buat demikian kerana untuk jasadmu atas dirimu ada habuan, untuk matamu atas dirimu ada habuan dan untuk isterimu ada habuan. Puasalah dan berbukalah. Puasa tiga hari pada setiap bulan, maka dengan demikian anda mendapat pahala sepanjang tahun." Aku berkata: " Wahai Rasullullah, aku mempunyai kekuatan (keupayaan untuk berpuasa). Sabda Baginda Rasullullah s.a.w. "Maka berpuasalah puasa NabiDaud a.s. iaitu berpuasalah sehari dan berbuka sehari." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Daripada Abdullah bin 'Amru ibnu al'As katanya, telah bersabda Rasullullah sa.w. bermaksud: "Puasa yang paling disukai oleh Allah s.w.t. ialah puasa Nabi Daud dan solat yang paling disukai Allah s.w.t. ialah solat Nabi Daud, baginda tidur separuh malam dan bangun beribadah sepertiga malam dan tidur seperempat malam dan baginda berpuasa sehari dan berbuka sehari." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

PERINGATAN

1. Dalam mencari pahala puasa sunnat, janga tersalah hari-hari yang diharamkan berpuasa iaitu:

  • TANGGAL 1 SYAWAL (HARI RAYA AIDIL FITRI)

  • 10 ZULHIJJAH (HARI RAYA AIDIL ADHA)HARI-HARI TASYRIQ: 11, 12 DAN 13 ZULHIJJAH

  • HARI SYAK MUNGKIN HARI MULA BERPUASA (30 SYA'ABAN)

  • SELEPAS 15 SYA'ABAN JIKA BUKAN PUASA QADHA ATAU NAZAR ATAU TIADA HUBUNGAN DENGAN PUASA PADA HARI SEBELUMNYA, ATAU BUKAN HARI YANG BIASA BERPUASA

  • PUASA SUNNAT BAGI WANITA TANPA IZIN SUAMI (JIKA SUAMI BERMUKIM YAKNI TAK MUSAFIR ATAU BERPERGIAN JAUH)

2. JANGAN PULA BERPUASA PADA HARI-HARI YANG DIMAKRUHKAN:

  • PUASA ORANG YANG SAKIT BERSANGATAN

  • PUASA ORANG YANG SANGAT TUA

  • PUASA WANITA YANG HAMIL

  • PUASA ORANG YANG MUSAFIR

  • PUASA PADA HARI 'ARAFAH BAGI ORANG YANG MENGERJAKAN HAJI

  • PUASA PADA HARI SABTU SAHAJA (DITUNGGALKAN)

  • PUASA PADA HARI JUMAAT SAHAJA (DITUNGGALKAN)

  • PUASA ASALNYA SUNNAT DIKERJAKAN OLEH ORANG YANG MENANGGUNG PUASA QADHA

  • PUASA SEPANJANG TAHUN (SEPANJANG MASA)

3. ORANG YANG MENGERJAKAN PUASA WAJIB DIKEHENDAKI BERNIAT PUASA PADA WAKTU MALAM. ADAPUN PUASA SUNNAT BOLEH BERNIAT PADA PAGI HARI SEBELUM TERGELINCIR MATAHARI (BELUM MASUK WAKTU ZUHUR) DENGAN SYARAT BELUM MELAKUKAN PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA

4. NIAT PUASA TIDAK SEMESTINYA DENGAN MELAFAZKAN DALAM BAHASA ARAB, MEMADAI MELINTASKAN DIDALAM HATI DENGAN APA-APA JUGA BAHASA YANG KITA FAHAMI, IAITU BAHAWA KITA HENDAK MELAKUKAN PUASA (SEBUT JENIS PUASANYA) PADA HARI ESOK (JIKA NIAT PADA WAKTU MALAM) ATAU PADA HARI INI (JIKA BERNIAT PADA WAKTU DINIHARI ATAU WAKTU SAHUR ATAU PADA SEBELAH PAGI SELEPAS SUBUH JIKA PUASA SUNNAT)

 

Hari Raya Puasa

By sayajiwakosong

Hari Raya Puasa is a very important occasion that is celebrated by Muslims all over the world. It is also known as the festival that marks the end of one month of fasting. The words ‘Hari Raya’ mean 'day of celebration.' Many mistake Hari Raya Puasa for the Muslim New Year but it is not.

Ramadan

What is Ramadan? Ramadan is the name of the one-month fasting period when Muslims fast for a period of almost 12 hours. They fast from dawn till sunset. It is a known fact that during the period of fasting, apart from eating and drinking Muslims are also forbidden from smoking and having sexual relations. Only the sick are excused from fasting during this month. Muslims are expected to avoid lying, breaking promise or cheating during the month of Ramadan. The primary purpose of fasting during Ramadan is to remind all Muslims of self-control and submitting to Allah, the holy one. Even young kids are taught to fast when they are young.

Preparations

In a country like Singapore where there are a number of Muslims, Hari Raya preparations can be seen at least one month before the festival. Geylang Serai, the place that is known for the Muslims to gather, is always filled with large crowds during Ramadan. Bazaars would be set up and they would be selling numerous festive items for Muslims. Carpets, clothes, bags, food, music CDs, household items and VCDs would also be sold at Geylang. At night the place is lit up with glittering lights. There would also be a wide variety of food which would be sold at the fairs and they include kuehs, otah-otah, cakes, buns, breads, curry, noodles and even curry puffs. Most of the Muslims shop here to get the food to bring home to eat when they are breaking the fast. The time when the Muslims break the fast is usually around 7:15pm.

Celebrations

Celebration for Hari Raya Puasa starts at least a month ahead, during the fasting period of Ramadan. Women start to sew beautiful curtains and buy new clothes for the family. Some families also do renovation for the house so that the house would look better when the guests visit it during the festival. After fulfilling their one-month of fasting, the Muslims would be joyful to celebrate Hari Raya Puasa. On the morning of the festival, the Muslims would wear their new clothes and go to the mosque to pray. They offer their thanks to God and after that they would ask for forgiveness from their elders. This is an important custom followed by the Muslims.

They feel that the young ones asking forgiveness from their elders is very essential. On the day, they also visit their relatives and friends to celebrate the happy occasion. If you visit Muslims' homes on Hari Raya Puasa you can expect to taste a wide variety of delicious spicy dishes. Some favorite dishes that can be found in Muslims homes on this special occasion are ketupat, lontong, nasi padang and beef rendang. The Muslims also have the habit of giving packets of money to kids when they go visiting. The packets are usually be in green color and children often look forward to getting these money tokens on Hari Raya Puasa. Overall, Hari Raya Puasa is a delightful festival for the Muslims.

 

Posted In: . By sayajiwakosong

PUASA

Definisi

Menahan diri daripada makan dan minum termasuk perkara yang membatalkan puasa mulai terbit fajar sidik sehingga tenggelam matahari.

Kategori Puasa

Ø Puasa Fardhu/Wajib - Bulan Ramadan, Puasa Qada' & Nazar.

Ø Puasa Sunat - Puasa enam (Syawal selepas Hari Raya Aidilfitri), puasa pada hari-hari yang ditetapkan seperti Khamis dan Isnin.

Ø Puasa hari 9-10 bulan Muharram

Ø Puasa pada hari "aman" - 13/14/15 setiap bulan kecuali Zulhijjah.

Ø Puasa pada hari Nisfu Syaa'ban - sebagai latihan "pra-Ramadan"

Syarat Wajib

Islam, Baligh, Mumaiyyiz, Berkemampuan/kudrat (untuk berpuasa)

Sah

Islam, mumaiyyiz, suci (haid/nifas), nawaitu, tiada makan dan minum, hari yang diharuskan puasa

Rukun

Nawaitu (Puasa Wajib), tidak makan dan minum serta melakukan perkara yang membatalkan puasa bermula fajar sidik hingga tenggelam matahari

Sunat

menyegerakan berbuka, melewatkan sahur, membaca Al-Qur'an, berbuka secara "ringan" dan tidak terlalu "berat", tidak bercakap perkara yang tidak berfaedah, ibadat sunat termasuk solat tarawih

Batal

Keluar air mani (sengaja – siang hari) bersetubuh (siang hari), mabuk, tidak sedarkan diri, bersalin, muntah dengan sengaja, memasukkan sesuatu kedalam rongga badan, murtad, haid/nifas, makan/minum, dll.

Harus Berbuka

sakit yang memudaratkan/tiada harapan sembuh, uzur (orang tua), mengandung/menyusukan anak, musafir dll.

Wajib Qada

Musafir, sakit mudarat, haid/nifas/bersalin, mengandung/menyusukan anak (bimbang akan kesihatan diri ibu berkenaan), bekerja berat (seperti ditengah panas terik dan mengangkut beban-beban berat dll seumpamanya)

Wajib Fidyah

Sakit tiada harapan sembuh, bekerja berat, uzur

Wajib Qada/Fidyah

Mengandung/menyusukan anak, lewat qada puasa sehingga Ramadan berikutnya

Wajib Qada/Kifarah

Berjimak (suami-isteri) pada siang hari (Ramadan)

Definisi - Kifarah

Dam/denda bagi lelaki bersetubuh pada siang hari. Wajib qada/kifarah menerusi - kemerdekaan hamba atau berpuasa 2 bulan berturut-turut atau memberi makanan 60 fakir miskin

Definisi - Fidyah

Secupak makanan kepada fakir miskin untuk 1 hari puasa yang ditinggalkan

Definisi - Qada

Menggantikan puasa apabila terbatal diatas yang diharuskan (berbuka) oleh syarak

Perkara Dimaafkan/Makruh

1. Menggosok/bersugi - namun makruh selepas gelincir matahari.

2. Menyejukkan badan dengan air (spt. Mandi) ketika pans

3. Memamah makanan untuk kanak-kanak kecil dengan syarat tidak ditelan.

4. Makruh memakai bau-bauan

5. Masuk sesuatu kedalam perut melalui air liur tanpa disedari.

6. Termakan dengan tidak sengaja

7. Bangun pagi dalam keadaan junub

8. Bermimpi jima' (ihtilam) dan keluar mani pada siang hari tidak membatalkan puasa (akan tetapi…jika berkhayal syawat sehingga keluar air mani maka batallah puasanya)

9. Makruh mengecap makanan dengan lidah tetapi tidak ditelan.

Hikmat

meninggikan taqwa, sihat tubuh badan - penghadaman, mengurangkan penyakit kronik, melatih sifat belas kasihan terhadap golongan miskin, menghancurkan hawa nafsu jahat termasuk syahwat, menghancurkan mazmumah - penyakit hati - spt. Sangka buruk, mengata, mengumpat dll.

Nota

Ø Menelan air liur bersih yang tidak bercampur dengan benda lain tidak membatalkan puasa - tidak juga disarankan meludah merata-rata.

Ø Menyuntik ubat ke dalam badan tidak membatalkan puasa kecuali - berbentuk vitamin/makanan - atau cara suntikan yang menolak/menarik (bagi mencampurkan ubat/darah) - pendapat umum jumhur ulama - batal puasanya.

Ø Menderma darah - pendapat umum jumhur ulama - batal puasanya.

Ø Berjunub atau perempuan habis haid/nifas waktu malam boleh berpuasa - walaupun melewatkan mengangkat hadas/mandi junub/mandi wajib sehingga terbit matahari.

Ø Berbuka puasa dengan sengaja tanpa keuzuran adalah haram.

Ø Mengata, mengumpat, mengadu-domba, memaki, zina pancaindera termasuk mata, berkhayal yang boleh menimbulkan syahwat dll mampu menghilangkan segala pahala puasa - kecuali lapar dan dahaga.

Ø Berbuka puasa dengan secara "berlebih-lebihan" akan menghilangkan hikmat puasa yang sebenar malah ibarat pada siang hari, kita membungkam nafsu, apabila tiba waktu berbuka, kita merajakan nafsu kembali. Sepatutnya kita lebih banyak mensyukuri rezeki dan menghayati maksud puasa yang sebenar.

Ø Jumhur ulama berpendapat bahawa merokok (menyedut dan menghembus asap) membatalkan puasa!


 

Puasa Menjana Jatidiri Sejati

Posted In: . By sayajiwakosong

05/09/2008 | Utusan Malaysia
Sebagaimana yang telah ditakdirkan, sambutan Ramadhan tahun ini hanya sehari berbeza dengan sambutan hari kemerdekaan tanah air kita Malaysia. Namun, jika diamati dengan teliti ada sedikit persamaan antara keduanya. Sekiranya makna kemerdekaan itu sendiri boleh disimpulkan sebagai membebaskan tanah air, bangsa dan diri daripada belengu penjajahan, maka begitu juga dengan puasa di bulan Ramadhan sebagai lambang perjuangan membebaskan diri seorang Muslim daripada belengu penjajahan nafsu dan syaitan yang sememangnya menjadi musuh ketat yang suka menjajah diri manusia. Sekiranya pengisian terhadap kemerdekaan yang telah dicapai oleh sesebuah negara dianggap rumit dan mencabar, begitu juga dengan usaha mencapai puasa yang terbaik adalah sangat pahit dan penuh dengan dugaan.

Puasa di bulan Ramadhan boleh dianggap sebagai kayu ukur kepada kesungguhan seorang Muslim untuk memperlihatkan tahap kehambaannya kepada Yang Maha Berkuasa, iaitu sama ada puasa sebulan yang dilalui itu dilaksanakan secara bersungguh-sungguh atau hanya 'main-main' sebagai memenuhi rukun Islam yang ketiga. Ini adalah kerana puasa seperti yang dituntut oleh agama Islam bukan hanya terletak pada menahan diri daripada makan dan minum sahaja, tetapi juga menahan diri dan seluruh pancaindera termasuk hati daripada melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan atau mengurangkan pahala puasa.

Maka dengan itu kita dapati terdapat sejumlah besar hadis-hadis Nabi yang menerangkan akan berpuasa yang dituntut itu bukan hanya sekadar menahan diri dari lapar dan dahaga, tetapi tuntutan berpuasa itu memerlukan kepada usaha yang bersungguh-sungguh yang tidak sedikit pengorbanannya. Umpamanya dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, yang maksudnya, "Bukan dinamakan puasa bila hanya sekadar menahan diri dari makan dan minum, tetapi puasa yang bersungguh-sungguh itu adalah menahan diri daripada percakapan yang tidak ada gunanya dan menahan diri berkata-kata yang keji."

Begitu juga dengan apa yang telah digariskan oleh Imam al-Ghazzali dalam kitab Ihya Ulumuddin terhadap tanggungjawab orang yang berpuasa itu adalah suatu yang perlu diberikan perhatian kerana ianya menjurus kepada tercapainya tahap puasa yang baik dan sempurna. Antara lain garis panduan itu menyatakan puasa ialah: '...menahan pandangan kepada segala perkara yang tercela dan dibenci agama dan juga kepada sesuatu yang boleh mengganggu hati serta melalaikannya daripada mengingati Allah; memelihara lidah daripada bercakap kosong, bohong, mengumpat, membuat fitnah, bercakap kotor, menimbulkan permusuhan dan mengucapkan kata-kata riak; memelihara pendengaran daripada mendengar hal-hal yang dilarang dan dibenci; memelihara seluruh anggota badan yang lain daripada melakukan dosa dan perkara-perkara yang dibenci. Begitu juga menahan perut daripada makanan yang syubhah, dan begitulah juga janganlah membanyakkan makan ketika berbuka sehingga terlalu kenyang walaupun dengan makanan yang halal...'

Maka dengan itu, puasa apabila dilaksanakan dengan sempurna menurut syarat zahir dan batinnya, yang bukan hanya menahan lapar dan dahaga serta syhawat terhadap isteri, tetapi juga mengekang pancaindera daripada melakukan dosa dan perkara yang dibenci agama, dan disertai pula dengan hati yang juga turut berpuasa, maka puasa yang sedemikian itu adalah puasa yang dituntut oleh agama Islam serta mencapai matlamat yang telah ditetapkan oleh tujuan berpuasa itu sendiri iaitu martabat manusia yang bertaqwa.

Selain daripada Imam al-Ghazzali, ramai lagi tokoh-tokoh Muslim terdahulu yang telah mengkaji dan membahaskan mengenai peri pentingnya melaksanakan puasa hingga ke tahap yang sewajarnya sebagaimana yang dituntut oleh agama. Umpamanya, Imam Ibn. Hajar al Asqalani dalam Fath al Bari, dan Imam Nawawi dalam syarahnya terhadap Sahih Muslim. Kesemua perbahasan mereka menjurus kepada menjelaskan hakikat makna puasa itu sendiri iaitu 'menahan dan mengawal diri.' Di mana antara intipati 'menahan dan mengawal diri' yang terdapat pada puasa itu terkandung tiga unsur utama, iaitu usaha untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT., ujian keikhlasan dalam beribadah, dan benteng daripada godaan syaitan.

Jika diamati dengan teliti, kita akan dapati amalan berpuasa yang menganjurkan manusia supaya berlapar dan dahaga, menahan diri daripada kelazatan dunia dan seumpamanya, seolah-olah memberi satu petanda bahawa manusia itu perlu mendekati Tuhan yang menciptanya dengan sifat-sifat keTuhanan itu sendiri yang juga tidak makan dan minum dan tidak berhajat kepada kelazatan duniawi.

Namun begitu puasa yang difardukan kepada manusia tidaklah sama seperti tidak makan dan minumnya Tuhan, apatah lagi puasa itu sendiri menjadi satu amalan yang sangat berat dan sukar untuk dilaksanakan oleh manusia kerana ianya bertentangan dengan fitrah manusia yang bergantung kepada makan dan minum untuk terus hidup, berlawanan dengan Wujudnya Tuhan yang tidak berharap dan memerlukan apa-apa.

Ringkasnya, berpuasanya manusia seolah-olah mereka berakhlak dengan sifat-sifat Tuhan, dan hal ini seiring dengan apa yang telah disabdakan oleh Baginda Nabi Muhammad s.a.w. yang maksudnya "Berakhlaklah kamu dengan akhlak-akhlak Tuhan (yang bersesuaian)." Oleh itu, semakin rapat manusia dengan Tuhannya, maka semakin banyaklah akhlak keTuhanan yang diamalkannya.

Puasa juga sebenarnya menguji keikhlasan manusia dalam melakukan ibadah. Hal ini dapat dilihat apabila ibadah puasa berbeza dengan ibadah-ibadah yang lain yang dapat dilihat perlakuannya. Umpamanya solat yang dapat dilihat qiyam, rukuk dan sujudnya. Zakat dapat dilihat apabila seseorang mengeluarkan harta atau wang ringgit bagi melunaskan kadar bayaran tertentu zakat. Haji pula dapat dilihat apabila seseorang pergi ke Mekah bagi menunaikan fardu haji. Berbeza dengan puasa yang tidak diketahui oleh manusia lain amalannya kerana tidak terlihat perlakuannya melainkan ianya diberitahu oleh orang yang berpuasa itu sendiri. Pendek kata, puasa tidak memiliki satu rupa bentuk perlakuan yang boleh dilihat oleh manusia lain. Maka dengan itu, ibadah puasa benar-benar merupakan satu amalan yang menguji keikhlasan diri manusia yang berpuasa. Ibadah ini juga merupakan antara ibadah yang menutup ruang untuk menunjuk-nunjuk atau riak, dan sebaliknya pula membuka seluas-luasnya peluang untuk manusia melakukan ibadah secara ikhlas dan penuh tawadu'.

Seterusnya, puasa adalah amalan yang menjadi benteng daripada godaan syaitan. Ini adalah kerana syaitan menggunakan nafsu syahwat manusia sebagai saluran utama atau tunggangan untuk menggodanya. Tetapi menerusi ibadah puasa yang mengekang dan melemahkan nafsu syahwat, saluran ini berjaya dilemahkan dan sekaligus melemahkan godaan syaitan ke atas manusia.

Keadaan ini pernah dijelaskan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dalam satu hadis yang maksudnya: "Sesungguhnya syaitan itu bergerak dalam tubuh anak adam seperti mengalirnya darah, oleh itu sekatlah alirannya (pergerakannya) dengan berlapar." Maka dengan itu, amalan puasa adalah benteng yang paling kental untuk melawan godaan syaitan kerana tunggangan utama syaitan iaitu nafsu syahwat telah dilemahkan.

Akhirnya, dalam usaha kita untuk mencapai puasa yang terbaik, dan seiring dengan bulan menyambut kemerdekaan tanah air tercinta ini, maka wajar untuk kita merungkai segala belengu amalan puasa adat kebiasaaan yang telah kita amalkan selama ini, sebaliknya berusahalah untuk mencari puasa yang dituntut oleh agama Islam sehingga amalan puasa kita dapat menjana manusia yang bergelar Muslim.

 

Berpuasa Dengan Penuh Sedar

Posted In: . By sayajiwakosong

12/09/2008 | Utusan Malaysia

Hari ini, masuk hari ke-12 kita melaksanakan ibadah puasa di bulan Ramadhan. Apakah kita telah melaksanakan kewajipan ini dengan penuh sedar?

Apabila kita melakukan sesuatu, apakah kita melakukannya dengan penuh sedar dan bertanggungjawab? Ramai yang beranggapan bahawa bila kita melakukan sesuatu, pastilah kita melakukannya dengan penuh sedar. Ini kerana jika tidak sedar, kita sama ada sedang khayal, tidur, mabuk, kurang waras, ataupun pengsan.

Namun, apakah semua yang dilakukan oleh mereka yang “berjaga” ini, dilakukan dengan penuh sedar?

Apakah seorang ayah sedar bahawa ia membahayakan nyawa anaknya jika dia membawa anaknya menaiki motorsikal tanpa memakai topi keledar? Apakah seorang pemandu sedar bahawa dia membahayakan nyawanya sendiri dan juga nyawa orang lain sekiranya dia memandu secara berbahaya? Apakah seorang yang mencemarkan sungai sedar bahawa tindakannya itu menjejaskan sumber air bersih untuk masyarakatnya?

Maka, siapa kata bahawa orang yang “berjaga” itu melakukan sesuatu dengan penuh sedar dan bertanggungjawab?

Semua ini berpunca dari sikap ambil mudah sebahagian besar ahli masyarakat. Apa yang mudah, itulah yang mereka lakukan. Mereka tidak benar-benar memikirkan perbuatan tersebut, apalagi kesannya, mahupun kaitan antara perbuatannya itu dengan perkara-perkara lain.

Akibatnya, kerajaan, melalui agensi-agensinya, terpaksa menganjurkan kempen-kempen untuk menyedarkan ahli masyarakat tentang perkara-perkara yang jelas nyata, yang mudah dan remeh. Terkini, kempen topi keledar kanak-kanak. Di mana silapnya sehingga penjagaan keselamatan anak sendiri perlu dikempen? Andai sahaja ahli masyarakat kita lebih bertanggungjawab, peruntukan untuk kempen-kempen seperti ini dapat digunakan untuk tujuan lain yang lebih berfaedah.

Ketika bulan Ramadhan semakin hampir ke pertengahannya, elok juga ditanya, apakah selama 11 hari yang lalu, kita telah berpuasa dengan penuh sedar? Berpuasa dengan penuh sedar bermaksud bukan sahaja menahan lapar dan dahaga dari terbit fajar hingga terbenam matahari, tetapi juga melaksanakan tuntutan lain yang ingin ditanamkan dalam diri setiap Muslim dengan ibadah ini.

Misalnya, untuk membolehkan golongan berada merasakan kesukaran yang terpaksa dihadapi oleh golongan yang tidak bernasib baik, yang sentiasa berada dalam keadaan lapar dan dahaga kerana tidak cukup wang. Sejauhmanakah penderitaan itu kita rasai?

Di bulan ini juga kita digalakkan bersedekah kepada golongan yang memerlukan. Memang benar, ramai yang menyahut seruan ini. Namun, jika dibanding peratusan wang yang kita sedekahkan dengan peratusan wang yang kita gunakan untuk perbelanjaan tidak perlu sepanjang Ramadhan serta persiapan menyambut hari raya, apakah ia menggambarkan yang kita benar-benar menghidupkan semangat bantu-membantu sesama Muslim?

Amalan memenuhkan meja makan dengan juadah untuk berbuka adalah sesuatu yang lazim dalam kebanyakan rumah di bulan ini. Alasan yang kerap diberikan ialah bahawa setiap ahli keluarga ada makanan kegemaran mereka sendiri ketika berbuka puasa. Soalnya, perlukah keinginan semua ahli keluarga ini dipenuhi hanya kerana mereka telah berpuasa sepanjang hari? Jika ini yang diterapkan dalam diri ahli keluarga kita, maka semangat untuk merasakan apa yang dirasakan oleh orang-orang yang susah itu akan tenggelam bersama terbenamnya matahari.

Begitu juga, sebilangan kecil dari kita mampu untuk berbuka di hotel yang harga hidangan buffetnya hampir RM100 seorang. Untuk sebuah keluarga dengan seorang kanak-kanak, mereka mungkin perlu membayar RM250 untuk sekali berbuka. Teringatkah kita bahawa dengan jumlah yang sama, sebuah keluarga miskin boleh makan untuk beberapa hari? Seandainya kita mampu sekalipun, tidakkah harga RM100 untuk sekali makan merupakan satu pembaziran? Kenapa memilih untuk membelanjakan sebanyak RM250 sekali makan tetapi tidak memilih untuk menghulurkan RM50 kepada pasangan buta yang mencari rezeki dengan menyanyi di kaki lima bangunan? Di manakah semangat Ramadhan itu?

Di bulan ini juga ada yang menjamu anak-anak yatim berbuka puasa di hotel-hotel lima bintang. “Nak bagi mereka rasa berbuka di hotel!”, kata para penganjurnya. Apakah bulan puasa ini bulan untuk orang kaya merasakan penderitaan orang miskin atau bulan untuk orang miskin merasakan kemewahan hidup orang kaya?

Ramadhan tinggal 18 hari sahaja lagi. Eloklah kita menilai sejauhmana kita telah melaksanakan kewajipan ini dengan penuh sedar. Sesungguhnya, Allah suka apabila kita melakukan sesuatu, kita lakukan dengan bersungguh-sungguh. Maka, marilah kita berpuasa dengan penuh sedar. Semoga kesungguhan itu akan tetap bersama kita selepas perginya Ramadhan agar kita dapat melakukan semua perkara lain dengan penuh sedar juga. Kita masih ada masa untuk membaiki diri. Lakukanlah sekarang. Ramadhan tahun depan belum tentu kita temui lagi.

 

Ramadhan Bulan Meningkatkan Produktiviti

Posted In: . By sayajiwakosong

9/09/2008 | Utusan Malaysia

Sebagaimana yang kita tahu bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan berbanding bulan-bulan lain.. Al-Quran ada menyentuh tentang perkara ini. Antaranya ialah tentang kelebihan malam lailatul qadar yang lebih baik daripada seribu bulan. Selain itu banyak hadis nabi yang turut menyatakan tentang kelebihan bulan Ramadhan ini terutamanya dari segi pahala amal ibadat yang dilipatgandakan oleh Allah s.w.t.

Dengan lain perkataan, pada bulan Ramadhan Allah s.w.t menawarkan pelbagai insentif untuk direbut oleh umat Islam menerusi amal ibadat yang mereka lakukan.

Menyentuh tentang perkara amal ibadat, berbanding dengan bulan-bulan yang lain, pada bulan Ramadhan ini, memang ramai di antara umat Islam yang meningkatkan kegiatan berbentuk kerohanian mereka. Jelasnya, pada bulan Ramadhan kalau dilihat dari sudut pandang produktiviti, kebanyakan daripada kita mencatatkan peningkatan yang ketara dari segi amal ibadat yang dilakukan.

Apa yang menimbulkan kehairanan di sini ialah dalam pada kita berusaha menghidupkan malam Ramadhan dengan amalan-amalan solat tarawih, qiamullail, tadarus dan sebagainya (kerana mengejar pahala dan fadilat Ramadhan); kebanyakan kita menjadikan alasan berpuasa untuk mengurangkan kegiatan-kegiatan kerja harian pada siang harinya.

Bila kita berpuasa, perkara asas yang sering kita lakukan iaitu makan dan minum kita terpaksa tinggalkan. Memang tidak dinafikan bahawa keadaan ini akan menyebabkan kita cepat letih sekiranya kita menggunakan tenaga secara berlebihan.

Namun ia sebenarnya bukanlah suatu alasan alasan untuk kita bermalas-malasan atau menjadi tidak giat dalam urusan kerja harian.

Jika kita menelusuri sejarah tamaddun Islam, dalam bulan Ramadhanlah banyak peristiwa penting yang berlaku yang semuanya menuntut kekuatan jasmani kaum muslimin terdahulu walaupun pada ketika itu mereka sedang menjalani ibadat puasa. Akan tetapi suasana yang sebaliknya berlaku kepada umat Islam sekarang.

Mungkin kita perlu ambil iktibar daripada umat Islam terdahulu dari sudut bagaimana mereka mengharungi Ramadhan tanpa perlu menggunakan alasan berpuasa untuk lari daripada melaksanakan tanggungjawab mempertahankan dan meninggikan syiar Islam.

Malah pada bulan Ramadhanlah mereka mengambil kesempatan untuk mengatur strategi dan mengambil perbagai usaha yang memerlukan mereka bermandi keringat yang akhirnya membolehkan kita pada hari ini merasai nikmat iman dan Islam.

Peristiwa Perang Badar, pembukaan Kota Mekah, pembukaan Andalus oleh Tariq bin Ziyad, pengusiran keluar tentera salib daripada bumi Palestin oleh Salahuddin al-Ayyubi, kejayaan tentera kerajaan Mamluk menghentikan penguasaan Mongol ke atas empayar Islami, kejayaan tentera kerajaan Utmaniah menghalang kemaraan tentera Russia dan kejayaan mendapatkan kembali Semenanjung Sinai menerusi kemenangan tentera Mesir dalam Perang Arab Israel merupakan antara contoh-contoh penting tentang keazaman dan kejayaan umat Islam dahulu dalam perjuangan mereka menegakkan kebenaran yang semuanya berlaku pada bulan Ramadhan.

Apa yang lebih mengkagumkan kita, ia melibatkan bilangan yang sedikit di pihak yang benar yang sedang melakukan ibadah puasa mengatasi bilangan yang besar di pihak yang batil. Sebagai contoh, dalam Perang Badar dengan hanya kekuatan 313 tentera, pejuang Muslimin berjaya menewaskan tentera musyrikin yang lengkap bersenjata yang seramai 1000. Begitu juga dengan angkatan perang yang dipimpin oleh Tariq bin Ziyad. Dengan kekuatan 12000 orang tentera, beliau berjaya menewaskan 90000 tentera Kristian pimpinan Roderick. Ekoran daripada itu, agama Islam dan peradabannya berkembang makmur untuk selama 700 tahun di bumi Andalus.

Jadi apa yang dapat dirumuskan menerusi peristiwa-peristiwa penting yang dinyatakan di atas, berbanding dengan kita sekarang ini umat Islam dahulu memahami dengan mendalam falsafah Ramadhan. Mereka memahami bahawa Ramadhan merupakan bulan untuk mendidik mereka tentang erti pengorbanan yang sebenar.

Bagi mereka, Ramadhan bukan sahaja menuntut pengorbanan nafsu seseorang (nafsu makan, minum, tidur, kelamin dan lain-lain); namun ia juga menuntut pengorbanan jiwa raga untuk meninggikan syiar Islam. Maka tidak hairanlah pada zaman awal hinggalah ke zaman kegemilangan tamadun Islam, bulan Ramadhan dipenuhi dengan pelbagai peristiwa penting yang menjadi bukti kukuh tentang pengorbanan umat Islam terdahulu dalam perjuangan mereka untuk menegakkan kalimah Allah.

Kebanyakan daripada kita pada hari ini tidak menghayati semangat yang dibawa oleh Ramadhan. Bagi mereka, Ramadhan bermaksud bulan menahan lapar dan dahaga serta bulan untuk mengurangkan kegiatan-kegiatan yang mereka rujuk sebagai “duniawi”. Urusan kerja dan urusan harian pada siang hari dikurangkan. Kononnya ia adalah urusan dunia. Malah tidur pada siang hari lebih diutamakan kerana bagi mereka ia adalah ibadat.

Ini adalah satu fahaman yang tidak tepat. Urusan duniawi seperti kerja-kerja harian yang selaras dengan kehendak Shariah serta kegiatan yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi baik di bidang perkhidmatan, perniagaan dan lain-laian sebenarnya adalah suatu bentuk ibadat. Selain itu ia juga merupakan satu bentuk jihad kerana ia berperanan untuk menggiatkan pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan suatu persekitaran kehidupan yang selesa untuk ahli masyarakat.

Sepatutnya pada bulan Ramadhan kegiatan-kegiatan ini dapat ditingkatkan kerana tumpuan kita semasa bekerja untuk makan dan minum sudah berkurangan. Dengan kata lain, bila tumpuan kita untuk makan dan minum tiada, kesempatan ini sepatutnya digunakan untuk kita meningkatkan lagi usaha kerja harian.

Secara ringkasnya, pada bulan Ramadhan kita tidak seharusnya berusaha meningkatkan kegiatan amalan-amalan kerohanian semata-mata demi mengejar pahala yang berlipatganda yang dijanjikan Allah s.w.t.

Di dalam surah al-Nahl Allah s.w.t ada menyatakan bahawa sesiapa yang mengerjakan amal soleh, Dia akan memberi balasan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka usahakan. Amal soleh atau ibadat dalam agama Islam tidak terhad untuk solat, puasa, zakat atau haji. Ia merangkumi pelbagai kegiatan yang selaras dengan kehendak Shariah yang dilakukan oleh manusia. Ini termasuklah juga urusan harian dan segala kegiatan ekonomi untuk memenuhi keperluan kehidupan.

Jadi jika umat Islam dahulu memanfaatkan sepenuhnya malam bulan Ramadhan dengan qiamullail dan waktu siangnya menitis keringat berjihad di jalan Allah, kita sebagai umat yang terkemudian yang hidup dalam persekitaran yang lebih baik daripada mereka sepatutnya memanfaatkan kelebihan Ramadhan untuk melatih diri menjadi insan yang lebih baik dalam semua bidang kehidupan.