05/09/2008 | Utusan Malaysia
Sebagaimana yang telah ditakdirkan, sambutan Ramadhan tahun ini hanya sehari berbeza dengan sambutan hari kemerdekaan tanah air kita Malaysia. Namun, jika diamati dengan teliti ada sedikit persamaan antara keduanya. Sekiranya makna kemerdekaan itu sendiri boleh disimpulkan sebagai membebaskan tanah air, bangsa dan diri daripada belengu penjajahan, maka begitu juga dengan puasa di bulan Ramadhan sebagai lambang perjuangan membebaskan diri seorang Muslim daripada belengu penjajahan nafsu dan syaitan yang sememangnya menjadi musuh ketat yang suka menjajah diri manusia. Sekiranya pengisian terhadap kemerdekaan yang telah dicapai oleh sesebuah negara dianggap rumit dan mencabar, begitu juga dengan usaha mencapai puasa yang terbaik adalah sangat pahit dan penuh dengan dugaan.

Puasa di bulan Ramadhan boleh dianggap sebagai kayu ukur kepada kesungguhan seorang Muslim untuk memperlihatkan tahap kehambaannya kepada Yang Maha Berkuasa, iaitu sama ada puasa sebulan yang dilalui itu dilaksanakan secara bersungguh-sungguh atau hanya 'main-main' sebagai memenuhi rukun Islam yang ketiga. Ini adalah kerana puasa seperti yang dituntut oleh agama Islam bukan hanya terletak pada menahan diri daripada makan dan minum sahaja, tetapi juga menahan diri dan seluruh pancaindera termasuk hati daripada melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan atau mengurangkan pahala puasa.

Maka dengan itu kita dapati terdapat sejumlah besar hadis-hadis Nabi yang menerangkan akan berpuasa yang dituntut itu bukan hanya sekadar menahan diri dari lapar dan dahaga, tetapi tuntutan berpuasa itu memerlukan kepada usaha yang bersungguh-sungguh yang tidak sedikit pengorbanannya. Umpamanya dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, yang maksudnya, "Bukan dinamakan puasa bila hanya sekadar menahan diri dari makan dan minum, tetapi puasa yang bersungguh-sungguh itu adalah menahan diri daripada percakapan yang tidak ada gunanya dan menahan diri berkata-kata yang keji."

Begitu juga dengan apa yang telah digariskan oleh Imam al-Ghazzali dalam kitab Ihya Ulumuddin terhadap tanggungjawab orang yang berpuasa itu adalah suatu yang perlu diberikan perhatian kerana ianya menjurus kepada tercapainya tahap puasa yang baik dan sempurna. Antara lain garis panduan itu menyatakan puasa ialah: '...menahan pandangan kepada segala perkara yang tercela dan dibenci agama dan juga kepada sesuatu yang boleh mengganggu hati serta melalaikannya daripada mengingati Allah; memelihara lidah daripada bercakap kosong, bohong, mengumpat, membuat fitnah, bercakap kotor, menimbulkan permusuhan dan mengucapkan kata-kata riak; memelihara pendengaran daripada mendengar hal-hal yang dilarang dan dibenci; memelihara seluruh anggota badan yang lain daripada melakukan dosa dan perkara-perkara yang dibenci. Begitu juga menahan perut daripada makanan yang syubhah, dan begitulah juga janganlah membanyakkan makan ketika berbuka sehingga terlalu kenyang walaupun dengan makanan yang halal...'

Maka dengan itu, puasa apabila dilaksanakan dengan sempurna menurut syarat zahir dan batinnya, yang bukan hanya menahan lapar dan dahaga serta syhawat terhadap isteri, tetapi juga mengekang pancaindera daripada melakukan dosa dan perkara yang dibenci agama, dan disertai pula dengan hati yang juga turut berpuasa, maka puasa yang sedemikian itu adalah puasa yang dituntut oleh agama Islam serta mencapai matlamat yang telah ditetapkan oleh tujuan berpuasa itu sendiri iaitu martabat manusia yang bertaqwa.

Selain daripada Imam al-Ghazzali, ramai lagi tokoh-tokoh Muslim terdahulu yang telah mengkaji dan membahaskan mengenai peri pentingnya melaksanakan puasa hingga ke tahap yang sewajarnya sebagaimana yang dituntut oleh agama. Umpamanya, Imam Ibn. Hajar al Asqalani dalam Fath al Bari, dan Imam Nawawi dalam syarahnya terhadap Sahih Muslim. Kesemua perbahasan mereka menjurus kepada menjelaskan hakikat makna puasa itu sendiri iaitu 'menahan dan mengawal diri.' Di mana antara intipati 'menahan dan mengawal diri' yang terdapat pada puasa itu terkandung tiga unsur utama, iaitu usaha untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT., ujian keikhlasan dalam beribadah, dan benteng daripada godaan syaitan.

Jika diamati dengan teliti, kita akan dapati amalan berpuasa yang menganjurkan manusia supaya berlapar dan dahaga, menahan diri daripada kelazatan dunia dan seumpamanya, seolah-olah memberi satu petanda bahawa manusia itu perlu mendekati Tuhan yang menciptanya dengan sifat-sifat keTuhanan itu sendiri yang juga tidak makan dan minum dan tidak berhajat kepada kelazatan duniawi.

Namun begitu puasa yang difardukan kepada manusia tidaklah sama seperti tidak makan dan minumnya Tuhan, apatah lagi puasa itu sendiri menjadi satu amalan yang sangat berat dan sukar untuk dilaksanakan oleh manusia kerana ianya bertentangan dengan fitrah manusia yang bergantung kepada makan dan minum untuk terus hidup, berlawanan dengan Wujudnya Tuhan yang tidak berharap dan memerlukan apa-apa.

Ringkasnya, berpuasanya manusia seolah-olah mereka berakhlak dengan sifat-sifat Tuhan, dan hal ini seiring dengan apa yang telah disabdakan oleh Baginda Nabi Muhammad s.a.w. yang maksudnya "Berakhlaklah kamu dengan akhlak-akhlak Tuhan (yang bersesuaian)." Oleh itu, semakin rapat manusia dengan Tuhannya, maka semakin banyaklah akhlak keTuhanan yang diamalkannya.

Puasa juga sebenarnya menguji keikhlasan manusia dalam melakukan ibadah. Hal ini dapat dilihat apabila ibadah puasa berbeza dengan ibadah-ibadah yang lain yang dapat dilihat perlakuannya. Umpamanya solat yang dapat dilihat qiyam, rukuk dan sujudnya. Zakat dapat dilihat apabila seseorang mengeluarkan harta atau wang ringgit bagi melunaskan kadar bayaran tertentu zakat. Haji pula dapat dilihat apabila seseorang pergi ke Mekah bagi menunaikan fardu haji. Berbeza dengan puasa yang tidak diketahui oleh manusia lain amalannya kerana tidak terlihat perlakuannya melainkan ianya diberitahu oleh orang yang berpuasa itu sendiri. Pendek kata, puasa tidak memiliki satu rupa bentuk perlakuan yang boleh dilihat oleh manusia lain. Maka dengan itu, ibadah puasa benar-benar merupakan satu amalan yang menguji keikhlasan diri manusia yang berpuasa. Ibadah ini juga merupakan antara ibadah yang menutup ruang untuk menunjuk-nunjuk atau riak, dan sebaliknya pula membuka seluas-luasnya peluang untuk manusia melakukan ibadah secara ikhlas dan penuh tawadu'.

Seterusnya, puasa adalah amalan yang menjadi benteng daripada godaan syaitan. Ini adalah kerana syaitan menggunakan nafsu syahwat manusia sebagai saluran utama atau tunggangan untuk menggodanya. Tetapi menerusi ibadah puasa yang mengekang dan melemahkan nafsu syahwat, saluran ini berjaya dilemahkan dan sekaligus melemahkan godaan syaitan ke atas manusia.

Keadaan ini pernah dijelaskan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dalam satu hadis yang maksudnya: "Sesungguhnya syaitan itu bergerak dalam tubuh anak adam seperti mengalirnya darah, oleh itu sekatlah alirannya (pergerakannya) dengan berlapar." Maka dengan itu, amalan puasa adalah benteng yang paling kental untuk melawan godaan syaitan kerana tunggangan utama syaitan iaitu nafsu syahwat telah dilemahkan.

Akhirnya, dalam usaha kita untuk mencapai puasa yang terbaik, dan seiring dengan bulan menyambut kemerdekaan tanah air tercinta ini, maka wajar untuk kita merungkai segala belengu amalan puasa adat kebiasaaan yang telah kita amalkan selama ini, sebaliknya berusahalah untuk mencari puasa yang dituntut oleh agama Islam sehingga amalan puasa kita dapat menjana manusia yang bergelar Muslim.