12/09/2008 | Utusan Malaysia

Hari ini, masuk hari ke-12 kita melaksanakan ibadah puasa di bulan Ramadhan. Apakah kita telah melaksanakan kewajipan ini dengan penuh sedar?

Apabila kita melakukan sesuatu, apakah kita melakukannya dengan penuh sedar dan bertanggungjawab? Ramai yang beranggapan bahawa bila kita melakukan sesuatu, pastilah kita melakukannya dengan penuh sedar. Ini kerana jika tidak sedar, kita sama ada sedang khayal, tidur, mabuk, kurang waras, ataupun pengsan.

Namun, apakah semua yang dilakukan oleh mereka yang “berjaga” ini, dilakukan dengan penuh sedar?

Apakah seorang ayah sedar bahawa ia membahayakan nyawa anaknya jika dia membawa anaknya menaiki motorsikal tanpa memakai topi keledar? Apakah seorang pemandu sedar bahawa dia membahayakan nyawanya sendiri dan juga nyawa orang lain sekiranya dia memandu secara berbahaya? Apakah seorang yang mencemarkan sungai sedar bahawa tindakannya itu menjejaskan sumber air bersih untuk masyarakatnya?

Maka, siapa kata bahawa orang yang “berjaga” itu melakukan sesuatu dengan penuh sedar dan bertanggungjawab?

Semua ini berpunca dari sikap ambil mudah sebahagian besar ahli masyarakat. Apa yang mudah, itulah yang mereka lakukan. Mereka tidak benar-benar memikirkan perbuatan tersebut, apalagi kesannya, mahupun kaitan antara perbuatannya itu dengan perkara-perkara lain.

Akibatnya, kerajaan, melalui agensi-agensinya, terpaksa menganjurkan kempen-kempen untuk menyedarkan ahli masyarakat tentang perkara-perkara yang jelas nyata, yang mudah dan remeh. Terkini, kempen topi keledar kanak-kanak. Di mana silapnya sehingga penjagaan keselamatan anak sendiri perlu dikempen? Andai sahaja ahli masyarakat kita lebih bertanggungjawab, peruntukan untuk kempen-kempen seperti ini dapat digunakan untuk tujuan lain yang lebih berfaedah.

Ketika bulan Ramadhan semakin hampir ke pertengahannya, elok juga ditanya, apakah selama 11 hari yang lalu, kita telah berpuasa dengan penuh sedar? Berpuasa dengan penuh sedar bermaksud bukan sahaja menahan lapar dan dahaga dari terbit fajar hingga terbenam matahari, tetapi juga melaksanakan tuntutan lain yang ingin ditanamkan dalam diri setiap Muslim dengan ibadah ini.

Misalnya, untuk membolehkan golongan berada merasakan kesukaran yang terpaksa dihadapi oleh golongan yang tidak bernasib baik, yang sentiasa berada dalam keadaan lapar dan dahaga kerana tidak cukup wang. Sejauhmanakah penderitaan itu kita rasai?

Di bulan ini juga kita digalakkan bersedekah kepada golongan yang memerlukan. Memang benar, ramai yang menyahut seruan ini. Namun, jika dibanding peratusan wang yang kita sedekahkan dengan peratusan wang yang kita gunakan untuk perbelanjaan tidak perlu sepanjang Ramadhan serta persiapan menyambut hari raya, apakah ia menggambarkan yang kita benar-benar menghidupkan semangat bantu-membantu sesama Muslim?

Amalan memenuhkan meja makan dengan juadah untuk berbuka adalah sesuatu yang lazim dalam kebanyakan rumah di bulan ini. Alasan yang kerap diberikan ialah bahawa setiap ahli keluarga ada makanan kegemaran mereka sendiri ketika berbuka puasa. Soalnya, perlukah keinginan semua ahli keluarga ini dipenuhi hanya kerana mereka telah berpuasa sepanjang hari? Jika ini yang diterapkan dalam diri ahli keluarga kita, maka semangat untuk merasakan apa yang dirasakan oleh orang-orang yang susah itu akan tenggelam bersama terbenamnya matahari.

Begitu juga, sebilangan kecil dari kita mampu untuk berbuka di hotel yang harga hidangan buffetnya hampir RM100 seorang. Untuk sebuah keluarga dengan seorang kanak-kanak, mereka mungkin perlu membayar RM250 untuk sekali berbuka. Teringatkah kita bahawa dengan jumlah yang sama, sebuah keluarga miskin boleh makan untuk beberapa hari? Seandainya kita mampu sekalipun, tidakkah harga RM100 untuk sekali makan merupakan satu pembaziran? Kenapa memilih untuk membelanjakan sebanyak RM250 sekali makan tetapi tidak memilih untuk menghulurkan RM50 kepada pasangan buta yang mencari rezeki dengan menyanyi di kaki lima bangunan? Di manakah semangat Ramadhan itu?

Di bulan ini juga ada yang menjamu anak-anak yatim berbuka puasa di hotel-hotel lima bintang. “Nak bagi mereka rasa berbuka di hotel!”, kata para penganjurnya. Apakah bulan puasa ini bulan untuk orang kaya merasakan penderitaan orang miskin atau bulan untuk orang miskin merasakan kemewahan hidup orang kaya?

Ramadhan tinggal 18 hari sahaja lagi. Eloklah kita menilai sejauhmana kita telah melaksanakan kewajipan ini dengan penuh sedar. Sesungguhnya, Allah suka apabila kita melakukan sesuatu, kita lakukan dengan bersungguh-sungguh. Maka, marilah kita berpuasa dengan penuh sedar. Semoga kesungguhan itu akan tetap bersama kita selepas perginya Ramadhan agar kita dapat melakukan semua perkara lain dengan penuh sedar juga. Kita masih ada masa untuk membaiki diri. Lakukanlah sekarang. Ramadhan tahun depan belum tentu kita temui lagi.